:: Bicara Pemuda ::

 

Sunday, September 9, 2007
Menjelang PRU ke-12: PAS yakin perintah semula Terengganu
mPeluang PAS Terengganu untuk kembali ke tampuk pemerintahan semakin cerah setelah rakyat kebanyakkannya mula menilai prestasi kerajaan BN negeri sejak lebih tiga tahun berlalu. Senario politik juga seakan memihak kepada PAS di Terengganu dengan pelbagai isu ‘menarik’ dan adakah PAS benar-benar bersedia menerima mandat baru menjelang PRU ke-12 akan datang. Berikut adalah wawancara wartawan Harakah, Awang Harun bersama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali (foto) di Pejabat Badan Perhubungan PAS negeri, baru-baru ini.

Bagaimana dengan senario politik di Terengganu hari ini dalam suasana bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-12 akan datang?

Kita sedang memerhatikan perkembangan ini bersama-sama dengan rakyat Terengganu dan kita telah melihat perkembangan ini semenjak daripada BN mngambil-alih kerajaan Terengganu pada tahun 2004. Kita (PAS) telah memerintah negeri Terengganu selama empat tahun iaitu selepas Pilihan Raya 1999 sehinggalah 2004.

Berdasarkan perbandingan senario sewaktu kita memerintah dan selepas BN mengambil-alih. Rakyat yang memerhatikan perkembangan ini dan membuat perbandingan sekarang ini sedang menghadapi suasana yang resah gelisah. Oleh kerana, apa yang dijanjikan oleh BN sewaktu Pilihan Raya 2004 dahulu tidak dilaksanakan oleh mereka.

gTanpa menafikan beberapa perkara yang mereka lakukan tetapi rakyat Terengganu sebenarnya tidak dapat menikmati apa yang disebut pemimpin Umno suatu pembangunan yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Sebenarnya, kesan daripada apa yang dilakukan oleh mereka sehingga sekarang sudah tiga tahun lebih menimbulkan beberapa isu dan di antaranya ada tiga isu besar yag dikaji oleh satu kumpulan pengkaji daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tiga besar itu ialah pertamanya, soal pengangguran yang sangat tinggi dalam negeri Terengganu dan peluang pekerjaan yang sangat terbatas. Kedua, kadar kemiskinan yang semakin tinggi berbanding dengan sewaktu kita memerintah dan ketiganya, ialah soal gejala sosial dan jenayah sosial yang juga semakin meningkat dalam negeri kita.

Kemiskinan misalnya, sewaktu kita (PAS) mengambil-alih pemerintahan tahun 1999. Kadar kemiskinan ialah 17.3 peratus dan kita telah melakukan beberapa usaha untuk menurunkan kadar kemiskinan ini. Kita telah pun berjaya menurunkan pada tahun 2001 kepada angka 14 peratus dan pada tahun 2003 turun lagi kepada 10.2 peratus. Tetapi malangnya, apabila BN mengambil-alih pemerintahan, angka yang terakhir yang kita dapati daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) iaitu pada tahun 2006, kadar kemiskinan itu meningkat kembali menjadi 15.4 peratus. Ini satu kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini.

Manakala, soal gejala sosial dan jenayah sosial yang kita sama-sama maklum dan kita sama-sama memerhatikan dan kita sama-sama melihat. Kita tengok sahaja akhbar hari ini, kita akan bertemu dengan kes-kes gejala sosial dan jenayah sosial dan antaranya ialah rompakan, kecurian, rogol, pembunuhan dan lain-lain yang melahirkan satu suasana yang tidak aman bagi rakyat negeri Terengganu.

Di samping itu dari sudut ekonomi, walau pun kerajaan BN Terengganu mendapat sumbangan daripada ‘Dana Khas’ iaitu duit daripada royalti minyak sebanyak RM1.3 bilion, dan tiap-tiap tahun RM750 juta; ia telah dibelanjakan untuk projek-projek yang tidak mendatangkan manfaat secara langsung kepada rakyat.

lMisalnya, pembangunan Pulau Duyong yang hendak dijadikan sebagai destinasi pelancongan sama dengan Monsoon Cup dan juga Taman Tamadun Islam yang menempatkan Masjid Kristal juga projek pelancongan yang memakan belanja RM750 juta itu. Ianya, bukan sahaja tidak dapat dimanfaati oleh rakyat secara langsung tetapi pembangunan itu sendiri ‘dibolot’ oleh satu syarikat atau seseorang yang bukan sebenarnya berasal dari negeri Terengganu.

Saya boleh sebut namanya iaitu Datuk Patrick Lim daripada Pulau Pinang, dan kenapa dia boleh dapat ini semua kerana dia dilindungi oleh Perdana Menteri, Abdullah Badawi dan Menteri Besar Terengganu, Idris Jusoh. Ini merupakan perkara yang sangat tidak disenangi oleh kontraktor tempatan Terengganu walau pun mereka punyai lesen ‘Kelas C’ tetapi telah diketepikan.

Dan begitu juga untuk memanfaatkan tenaga profesional misalnya dari segi arkitek juga tidak digunakan arkitek tempatan, walau pun arkitek tempatan juga mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian. Tetapi semua ini yang berkait dengan pembangunan ketiga-tiga projek ini telah dilaksanakan melalui syarikat Inqwill Capital dan T-Best yang sebenarnya memonopoli projek tersebut. Pihak yang mendapat keuntungan ialah syarikat ini dan pemimpin-pemimpin politik negeri Terengganu yang mengambil kesempatan daripada projek ini.

Jadi kita (PAS) melihat perkembangan yang berlaku sekarang dan kecenderungan rakyat sudah berubah daripada dahulu. Kita melihat sewaktu baru-baru mereka mengambil-alih, terdapat suatu harapan yang tinggi daripada rakyat dan sekarang ini harapan itu sudah ‘hancur’ kerana mereka (rakyat) merasakan sendiri apa yang dilakukan itu.

Apakah benar rakyat khususnya pengundi di Terengganu telah menolak PAS dan Barisan Alternatif (BA) dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 yang lalu?

rSebenarnya dalam Pilihan Raya 2004, pengundi tulen negeri Terengganu yang pernah memberikan undi kepada kita terdiri dari PAS dan KeADILan sebenarnya tidak ‘menolak’ kita. Tetapi yang memenangkan BN dalam Pilihan Raya 2004 ialah hasil daripada konspirasi dan manipulasi pemimpin tertinggi Umno dengan ‘orang-orang penting’ tertentu dalam SPR dan ‘orang-orang penting’ juga daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Konspirasi inilah yang menyebabkan berlakunya kemenangan bagi BN dengan mereka mendatangkan pengundi-pengundi yang sebenarnya tidak pernah mengundi di Terengganu tetapi didatangkan untuk mengundi BN. Kita (PAS) sudah mengesan perkara ini.

Pada pandangan Dato’, bagaimana dengan peluang PAS kali ini?

Sebagaimana yang saya sebutkan tadi. Faktor yang menyebabkan kita (PAS) tidak mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya tahun 2004 ialah hasil daripada konspirasi yang saya sebutkan tadi. Dan kita (PAS) telah mengenal pasti orang yang bertanggungjawab itu. Tetapi saya tidak boleh mendedahkan nama-nama mereka ini melainkan kalau ada satu Suruhanjaya Bebas atau Suruhanjaya DiRaja yang boleh menyiasat tentang Pilihan Raya 2004. Saya bersedia untuk ‘mendedahkan’ nama-nama mereka yang terlibat tetapi jelas ialah kospirasi dari tiga pihak iaitu pimpinan tertinggi Umno, orang-orang - bukan SPR keseluruhannya - tetapi orang-orang tertentu dalam SPR dan orang-orang tertentu yang merupakan pegawai tinggi dalam KDN yang bertanggungjawab itu.

Jadi oleh kerana itu, dengan perubahan itu rakyat melihat bahawa BN sebenarnya tidak melaksanakan apa yang mereka cakap dan ditambah dengan ‘kezaliman’ dan ‘kerakusan’ yang mereka lakukan terhadap rakyat dan melahirkan banyak masalah-masalah yang wujud dalam negeri Terengganu sekarang. Maka, perubahan yang berlaku ini InsyaAllah akan memberikan kelebihan kepada BA, PAS dan KeADILan (PKR). Dan InsyaAllah, “kita akan memenangi semula negeri Terengganu dalam pilihan raya yang akan datang”.

Jadi apakah tawaran PAS Terengganu kepada rakyat jika diberi semula mandat memerintah negeri dalam Pilihan raya Umum Ke-12 akan datang?

Kepada sesiapa yang mengikuti program yang kita laksana sewaktu memerintah selama empat tahun (1999-2004) akan melihat pelbagai aspek pembangunan yang telah kita lakukan. Antara yang boleh saya jelaskan ialah soal tanah kerana kita perlu menyedari bahawa, negeri Terengganu masih digolong dalam negeri pertanian. Walau pun ada perindustrian yang berlaku dalam negeri Terengganu tetapi sebahagian besar rakyat masih bergantung kepada pertanian.

yKita (PAS) telah melakukan suatu 'reformasi tanah' yang tidak pernah dibuat sebelum kita mengambil alih pemerintahan tahun 1999. Rakyat semua tahu bahawa, sepanjang tempoh pemerintahan BN sebelum kita mengambil alih tahun 1999 itu permohonan tanah telah dibekukan, walau pun tanah-tanah tertentu ada diberikan kepada orang-orang tertentu, tetapi kepada rakyat tanah telah dibekukan.

Kita telah mengadakan satu reformasi dengan menyelesaikan beberapa aspek daripada soal pembangunan tanah dan pemilikan tanah. Kita telah menyelesaikan geran tanah yang berkait dengan Undang-undang, yang berkait dengan tanah pinggir dan mungkin rakyat menyedari tanah pinggir ini telah wujud sejak tahun 60-an tetapi sampai sewaktu kita (PAS) mengambil alih tidak ada satu pun penyelesaian yang dibuat berkait dengan tanah tersebut. Rakyat tidak dapat geran apa pun dengan tanah pinggir ini. Kita telah menyelesaikan soal tanah pinggir ini dalam beberapa daerah dan proses itu sedang berjalan apabila kita tidak lagi memerintah.

Keduanya, soal tanah Felda walau pun bayaran balik itu telah ditunaikan oleh peneroka tetapi geran tidak diberikan kepada mereka (rakyat). Kita telah menyelesaikan geran tanah Felda ini kepada penerokanya di beberapa daerah, walau pun masih ada yang belum selesai tetapi itu dalam proses penyelesaian yang tunggu masa sahaja tetapi kita tidak mempunyai waktu kerana kita tidak lagi menjadi pemerintah pada waktu ini.

Reformasi baru yang kita lakukan ialah kita tumpukan pada dua aspek iaitu tanah lot perumahan kepada rakyat di negeri Terengganu yang tidak ada tempat tinggal serta tanah untuk dibangunkan rumah. Walau pun mereka telah berkahwin sama ada mereka menyewa atau menumpang di rumah mentua atau keluarga terdekat. Kita telah mengambil perjalanan menyelesaikan masalah ini dengan memberi dan menyediakan tapak lot ini di semua daerah dalam negeri Terengganu. Dan juga lot pertanian sebagai sumber rezeki kepada petani-petani yang tidak ada tanah dan mereka menjadikan itu sebagai sumber pendapatan mereka.

Proses ini dapat kita (PAS) lakukan dengan lebih cepat kerana kita mengambil manfaat daripada juru ukur swasta yang boleh melaksanakan tugas ini dengan cepat berbanding dengan Pejabat Tanah yang tidak mempunyai cukup tenaga untuk berbuat demikian. Kita telah menyelesaikan banyak lot-lot yang dimohon dari rakyat berdasarkan kaedah yang kita lakukan ini.

Apabila kita membuka permohonan kepada rakyat, kita telah menerima permohonan sebanyak 120,000 permohonan tanah tersebut. Kita (PAS) telah menyelesaikan sebanyak 50,000 lot tanah berdasar kepada peringkat-peringkat kategorinya. Sebahagiannya, telah kita (PAS) berikan geran dan sebahagaian lain Lesen Menduduki Sementara (LMS) dan ada di peringkat ‘lay out’ yang telah dikenal pasti tempat-tempatnya.

fdTetapi malangnya, kerajaan Umno/BN yang mengambil alih tahun 2004 ini telah mengkhianati polisi yang kita lakukan dan memusnahkan harapan rakyat untuk memiliki tanah dengan program yang kita lakukan ini. Sebahagian besar rakyat negeri Terengganu tahu bahawa sepatutnya polisi yang baik yang kita (PAS) lakukan ini di sambut terus oleh BN. Mereka (BN) telah mengkhianatinya dengan memusnahkan rumah yang telah didirikan, memusnahkan tanaman-tanaman yang telah pun ditanam oleh petani semata-mata kerana ini merupakan ‘polisi’ yang dilakukan oleh bekas kerajaan PAS.

Sambungan kepada LMS tidak dilakukan oleh mereka (kerajaan) itu dan sebahagian dari tanah-tanah yang telah kita (PAS) berikan kepada rakyat, dirampas dan diberi balik kepada orang yang tidak layak sebenarnya. Kita telah mengenal pasti itu semua dan mereka yang didapati tidak layak tetapi ‘kelayakan’ mereka adalah kerana mereka adalah kroni kepada MB, kepada Exco dan kepada wakil rakyat iaitu pemimpin-peminpin politik yang memerintah negeri Terengganu hari ini.

Ini bermakna rakyat akan ditawarkan dengan geran kekal atau masih berbentuk LMS?

Ya, berkait dengan soal tanah tersebut polisi kita akan diteruskan dan apabila kita memerintah nanti setelah diberi mandat semula oleh rakyat, Insya Allah. Apa yang dahulunya kita (PAS) beri LMS dan yang telah dikhianati oleh kerajaan BN hari ini dan rakyat telah didiskriminasikan tidak diberi peluang membangunkan tanah. Jadi sama ada kita memberikan lot tapak rumah atau pun tanah pertanian kepada mereka ini, kita akan beri terus hak milik geran kekal kepada mereka dan bukan lagi berbentuk Lesen Menduduki Sementara (LMS). Kita akan bahagikan geran kekal kepada mereka (rakyat) ini.

Bagaimana dengan polisi baru kerajaan BN yang hanya anugerahkan tanah untuk rakyat asal Terengganu sahaja?

Selain dari itu ada satu polisi yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini yang saya rasa tidak sesuai dan tidak sepatutnya dilakukan iaitu penduduk negeri Terengganu, rakyat negeri Terengganu yang berpuluh-puluh tahun tinggal di negeri Terengganu, sudah beranak dan bercucu tetapi oleh kerana kod kad pengenalan mereka tidak menunjukkan angka 11 iaitu asalnya dari Terengganu telah dinafikan daripada memohon serta memiliki tanah dalam polisi baru yang dibuat.

Fokusnya ialah mereka yang mempunyai kad pengenalan dengan kod 03 iaitu Kelantan, sedangkan mereka ini sudah bermastautin di negeri ini sejak berpuluh-puluh tahun dalam hampir kesemua daerah daripada Besut sampai ke Kemaman. Tetapi orang tersebut telah dinafikan dari sudut hak mereka sebagai rakyat dan pengundi bagi negeri Terengganu.

Kita (PAS) akan meneruskan polisi tanah kita sebagaimana yang telah kita laksanakan tahun 1999 hingga 2004 dan kita tidak akan mengecualikan sesiapa sahaja yang berhak berdasarkan kepada panduan yang telah kita buat iaitu mereka yang sepatutnya diberi pembelaan sama ada lot perumahan atau pertanian. Maka, kita (PAS) akan memberikan tanpa mengira sama ada mereka itu mempunyai kad pengenalan berkod 03 atau 11.

Manakala, polisi tanah yang dibuat oleh kerajaan BN hari ini langsung tidak manasabah, tidak kena dan tidak tepat hasrat rakyat di negeri ini. Mereka nafikan dan diskriminasikan pemegang KP dengan kod 03 tetapi BN Terengganu berikan beratus-ratus ekar tanah di Pulau Redang kepada satu syarikat yang dimiliki oleh Vincent Tan dengan premium yang sangat rendah untuk projek pelancongan. Saya rasa ini suatu perkara yang sangat tidak manasabah dan merupakan pengkhianatan kepada hasrat rakyat sendiri.

Kita (PAS) akan ubah polisi yang seperti ini dan kita balik berdasarkan prinsip pembangunan Islam yang menjadi teras kepada pemerintahan kita iaitu berlaku adil kepada semua rakyat negeri ini. Dalam soal tanah ini, kita tidak mengira sama ada dia penyokong PAS, dia Umno atau pun setiausaha apa sahaja, kita akan memberikan hak mereka berdasar kepada prinsip keadilan. Kerajaan BA - PAS dan KeADILan ini - akan melaksanakan keadilan yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip perjuangan kita.

Selain itu, apakah tawaran yang lebih menarik khususnya kepada imam dan bilal?

Kita (PAS) akan memperkasakan institusi masjid dan pegawai-pegawai masjid, imam, bilal dan sebagainya. Di mana sewaktu kita mengambil alih tahun 1999, elaun yang diberikan kepada imam dan bilal ini terlalu rendah. Imam diberikan hanya sebanyak RM280 sebulan dan kita telah naik kepada RM350. Kita tahu bahawa BN hendak tunjuk yang dia juga pembela agama dengan menaikkan lagi kepada RM450 sebulan. Tetapi program memperkasakan masjid yang akan dilaksanakan apabila kita memerintah nanti ialah dengan memberi satu skim gaji tetap yang ada potongan, ada caruman KWSP kepada pegawai-pegawai masjid ini supaya mereka boleh menumpukan peranan dan tugas untuk mengimarahkan dan memakmurkan dan memimpin ahli kariah masing-masing tanpa perlu kepada sumber-sumber yang lain. Kita yakin bahawa peranan institusi masjid ini akan dapat kita pertingkatkan.

Beberapa program yang telah kita laksanakan sewaktu kita memerintah juga akan kita teruskan. Dan saya rasa ini juga diteruskan oleh kerajaan yang ada ini.

Kerja lima hari seminggu, cuti pada hari Jumaat dan Sabtu yang kita perkenalkan zaman pemerintahan kita diteruskan oleh BN yang ada dan kita akan meneruskan apa yang telah kita laksanakan itu dan demikian juga dengan Skim Pinjaman bagi kakitangan kerajaan untuk pinjaman kenderaan dan rumah. Ada satu tabung yang kita wujudkan iaitu Tabung Darul Iman yang dimanfaatkan untuk mereka-mereka yang menerima musibah. Saya difahamkan, kerajaan yang ada ini juga meneruskan itu dan kita (PAS) akan teruskan semua perkara-perkara yang telah kita buat.

Antara lain, secara ringkasnya juga melibatkan sektor pendidikan, perumahan, perindustrian dan kebajikan masyarakat yang akan kita teruskan sebagaimana polisi yang telah kita lakukan sewaktu kita memerintah dahulu.

Ada rungutan bahawa kerajaan BN hari ini tidak bersikap mesra dengan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri?

Kita perlu menyedari bahawa, pentadbiran kerajaan negeri Terengganu sekarang ini berada dalam keadaan resah kerana sikap ego dan sikap diktator yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan negeri hari ini. Kita telah melaksanakan sewaktu memerintah dahulu suatu polisi yang mesra pegawai di mana sebelum mesyuarat Exco setiap hari Rabu kita mengadakan dahulu perbincangan dengan pegawai-pegawai, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan yang berkaitan dengan isu yang akan dibincangkan, supaya kita (PAS) boleh mendengar pandangan-pandangan mereka untuk kita manfaatkan.

Saya difahamkan, pentadbiran hari ini tidak mendengar langsung pandangan yang dikemukakan oleh pegawai-pegawai dan kakitangan walau pun pandangan daripada mereka itu sangat berguna untuk kita menambahkukuhkan lagi kepada polisi dan program yang akan kita laksanakan.

Sedih saya mendengar bagaimana duit negeri Terengganu telah dibelanjakan secara terlalu boros dan tidak mendatangkan manfaat sebenar kepada rakyat dan kemudian mereka yang memimpin negeri Terengganu mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri masing-masing sehingga tindakan-tindakan korupsi, salahguna kuasa dan penyelewengan terus berlaku dalam negeri Terengganu.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan rancangan pembangunan ‘luar biasa’ kepada rakyat Terengganu melalui pelancaran Koridor Timur?

Ya, baru-baru ini saya mendengar Perdana Menteri, Abdullah Badawi yang datang ke Terengganu dan menjanjikan bahawa dalam pilihan raya akan datang ini rakyat Terengganu akan melihat suatu pembangunan yang luar biasa. Saya menyeru kepada rakyat seluruhnya, cukuplah sekali rakyat Terengganu ditipu dengan pembangunan yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Pembangunan luar biasa mungkin tidak berlaku di negeri Terengganu. Ini cakap-cakap politik untuk menipu rakyat Terengganu dan saya harap rakyat perlu sedar tentang janji dan perkataan-perkataan manis tetapi beracun yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin BN pada hari ini.

 
posted by DPP Kawasan Setiu at 5:52 AM | Permalink |


0 Comments: